Berbelanja tidak salah, tapi biarlah berhemah

Keputusan kabinet Kerajaan Perpaduan memotong 20 peratus gaji menteri sehingga ekonomi negara pulih mendapat perhatian ramai.
Keputusan kabinet Kerajaan Perpaduan memotong 20 peratus gaji menteri sehingga ekonomi negara pulih mendapat perhatian ramai.
A
A
A

KEPUTUSAN kabinet Kerajaan Perpaduan memotong 20 peratus gaji menteri sehingga ekonomi negara pulih mendapat perhatian ramai.

Walaupun tindakan itu mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak, namun ia wajar diberi pujian bagi memulihkan keyakinan rakyat yang berdepan situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Langkah tersebut dilihat senada dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengumumkan tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.

Mengambil kira keputusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan itu, rakyat Malaysia juga sebenarnya mengharapkan perbelanjaan di semua peringkat kementerian dan agensi kerajaan dilakukan secara berhemah.

Budaya bermewah dalam penganjuran program misalnya, haruslah dihentikan supaya kerajaan benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat yang dihimpit kos sara hidup menekan ketika ini.

Bukan itu sahaja, perbelanjaan dalam urusan rasmi kerajaan juga perlu dikawal, contohnya tidak perlu lagi tiket penerbangan dengan kelas tertentu dan penginapan di hotel mewah kepada penjawat awam. Itu antara dua contoh, tetapi ada banyak lagi yang boleh dijimatkan sebaik sahaja menteri mula menjalankan tugas di kementerian masing-masing.

Sebenarnya, berbelanja tidak salah tapi biarlah berhemah. Dalam erti kata lain, berjimat perlu dilakukan untuk memastikan wang digunakan kepada perkara lain lebih berfaedah. Namun, jangan pula sampai ia ‘membunuh’ industri tempatan yang berkait dengan kerajaan sehingga ada yang ‘bungkus’ gara-gara langkah penjimatan ini.

Bagaimanapun, selain potong gaji menteri dan berjimat-cermat, ada yang lebih penting yang rakyat mahukan iaitu mendapatkan perkhidmatan awam yang efisien.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia sudah letih untuk membuat aduan mengenai kaunter perkhidmatan kerajaan yang tidak dibuka sepenuhnya, atau layanan dan perkhidmatan lambat sehingga terpaksa menunggu lama apabila berurusan dengan kerajaan.

Jika sistem sedia ada perlu dirombak bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan, langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan melakukan perubahan 360 darjah, walaupun ia mungkin memeritkan bagi penjawat awam.

Walaupun gaji menteri sudah dipotong 20 peratus, rakyat juga mahukan kualiti perkhidmatan di semua kementerian mencapai tahap bukan saja 100 peratus, malah 120 peratus.