Polis siasat video tular berunsur fitnah pegawai polis

Video tular berunsur fitnah terhadap pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.
Video tular berunsur fitnah terhadap pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Polis sedang menyiasat video tular berunsur fitnah terhadap seorang pegawai polis yang sedang menjalankan tugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat di PJS 3/44 di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan satu klip video tular di aplikasi TikTok pada jam 6.30 petang, Isnin.

"Klip video yang dimuat naik oleh pengguna laman sosial itu memaparkan seorang pegawai polis yang menjalankan tugas penguatkuasaan terhadap individu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

"Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir dan emoji muka ketawa bersama karung wang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ku Mashariman berkata, perbuatan memuat naik klip video itu mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia.

"Kes disiasat di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.

Artikel Berkaitan: