Denda hingga RM100,000 jika tipu label telur

Mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan atau saiz telur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan atau saiz telur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan atau saiz telur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Azman Adam berkata, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM250,000.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah menerima sebanyak 291 aduan merangkumi gred (117) dan 174 aduan umum mengenai telur sepanjang tahun ini.

"Pihak kementerian telah mengambil beberapa sampel telur premium yang dijual di beberapa premis terpilih.

"Sampel telur ini akan diuji bagi mengetahui kandungannya adalah tepat sepertimana yang didakwa oleh pihak pengeluar, pemborong dan peruncit terbabit.

"Tindakan boleh diambil selepas keputusan ujian makmal diterima dan didapati telur diuji tidak premium sepertimana didakwa oleh pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, terdapat beberapa pemborong berkonspirasi menukar label telur gred biasa kepada telur premium untuk meraih keuntungan berganda.

Dalam pada itu Azman memaklumkan, harga telur jenis premium tidak dikawal sebaliknya KPDNKSH telah menetapkan harga ladang, borong dan runcit maksimum bagi telur ayam gred A, B dan C.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, penetapan harga tersebut termaktub di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam Dan Telur Ayam) 2022 yang berkuat kuasa pada 5 Februari 2022.

KPDNKSH turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan isu penipuan label telur premium di pasaran melalui saluran Whatsapp ke talian 0192794317 atau 0198488000.

Aduan juga boleh dibuat menerusi talian 1-800-886-800 atau atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) ditalian 0388826088/6245.