Rakyat mahu lihat usaha kerajaan

Anwar mempengerusikan mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin.
Anwar mempengerusikan mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas persoalan berhubung barisan kabinet Kerajaan Perpaduan terjawab, kini usaha dan komitmen kementerian pula yang akan menjadi modal perbincangan rakyat masa kini.

Ini kerana beberapa menteri difahamkan telah memulakan tugas mereka secara rasmi pada Isnin selepas Mesyuarat Khas Kabinet diadakan.

Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah memutuskan beberapa perkara penting bagi demi kesejahteraan rakyat di negara ini.

Antara isu-isu rakyat yang dibangkitkan termasuk persediaan banjir dan harga makanan terutamanya bekalan telur ayam.

Namun, apa yang paling menarik adalah berhubung persetujuan kesemua menteri kabinet untuk melakukan potongan gaji sehingga 20 peratus.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas kabinet yang berlangsung pada pagi Isnin.

Menurut Anwar, pemotongan gaji itu akan disemak semula selepas ekonomi kembali pulih.

Perkara tersebut menunjukkan kesediaan dan komitmen kerajaan dalam menolong rakyat serta membantu memulihkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beberapa kementerian dijangka akan mengumumkan langkah-langkah atau inisiatif yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Sudah pasti setiap menteri mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menilai dan mengkaji isu-isu penting yang memberi tekanan kepada rakyat.

Antaranya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang melakukan tinjauan secara mengejut di perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada petang Isnin.

Beliau dalam siaran di Facebook berkata, tinjauan itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan media bagi merasai sendiri pengalaman pengguna pengangkutan awam terutamanya ketika waktu puncak.

Selain itu, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Prasarana pada minggu ini bagi membincangkan mengenai halatuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil juga akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan bersifat agresif.

Beliau yang baru memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di sini pada Isnin berkata, pertemuan itu akan turut memberi ruang kepadanya untuk memahami kerangka kawal selia setiap penyedia perkhidmatan media sosial.

Beberapa kementerian lain sudah tentu akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak tertentu bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Apa yang penting, usaha dan komitmen kerajaan menjadi kayu ukur kepada rakyat untuk melihat prestasi kerajaan dibawah pimpinan Anwar.