Guru sejarah menang RM250,000 kempen My Dream Home 2.0

Nurhanishah yang ditemani suami dan anaknya menerima replika hadiah tunai RM250,000 daripada Mizan (dua dari kiri).
Nurhanishah yang ditemani suami dan anaknya menerima replika hadiah tunai RM250,000 daripada Mizan (dua dari kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuah menyebelahi seorang guru sejarah apabila berjaya membawa pulang wang tunai RM250,000 selepas diumumkan sebagai pemenang tempat pertama hadiah utama kempen My Dream Home 2.0 Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Dengan durian runtuh yang dirangkul itu, pengorbanan Nurhanishah Che Ngah, 32, berulang alik dari rumahnya ke sekolah sejauh lebih 130 kilometer setiap hari seakan terbalas.

Ibu tiga anak itu terpaksa melalui perjalanan meletihkan tiga jam sehari dari Sungai Petani, Kedah ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah di Alor Setar semata-mata kerana mahu tinggal di rumah yang dibelinya.

Nurhanishah berkata, rumah itu dibelinya pada 2019 menggunakan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebelum memutuskan untuk membuat pembiayaan semula di bawah Bank Islam pada Mac lalu.

"Saya pilih untuk ambil Pembiayaan Semula Rumah-i Wahdah Bank Islam berjumlah RM345,000 yang tawarkan banyak kelebihan sebab nak ubah suai rumah apabila saya mula berpindah ke Kedah dari Pulau Pinang pada awal tahun ini.

"Walaupun jarak rumah dengan tempat kerja jauh tapi hikmahnya saya peroleh rezeki yang tak disangka-sangka ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen My Dream Home 2.0 2022 yang disempurnakan Ketua Pegawai Perniagaan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram, di Hotel Grand Hyatt, di sini, pada Isnin.

Kegembiraan Nurhanishah itu turut dikongsi bersama seorang lagi guru dari Sungai Petani, Muhammad Azley Azmi, 43, dan jurutera dari Johor Bahru, Mohamad Zikri Ghazali, 35, serta pasangannya yang juga pegawai tadbir, Nor Syafila Tukiman, 36, yang masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga kempen itu.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 dan RM25,000.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Perniagaan Runcit Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram (empat dari kiri) bergambar bersama tiga pemenang utama Kempen “My Dream Home 2.0” pada Majlis Penyampaian Hadiah di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan
Ketua Pegawai Perniagaan Runcit Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram (empat dari kiri) bergambar bersama tiga pemenang utama Kempen “My Dream Home 2.0” pada Majlis Penyampaian Hadiah di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan

Sementara itu, Mizan berkata, penganjuran kempen My Dream Home 2.0 merupakan susulan daripada kejayaan edisi pertamanya yang bermula tahun lalu dan ia terbuka kepada pelanggan Pembiayaan Rumah-i Baiti atau Pembiayaan Semula Rumah-i Wahdah Bank Islam dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM200,000.

Menurutnya, bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pemenang, ia dipilih secara rawak melalui cabutan dengan menggunakan enjin cabutan umum Bank Islam.

"Ia diadakan untuk menghargai sokongan dan kepercayaan pelanggan terhadap Bank Islam selama ini dengan menyediakan peluang kepada mereka untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta.

"Kempen ini dijalankan selama sembilan bulan dan sepanjang tempoh ini sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan apabila jumlah permohonan pembiayaan yang diterima berjumlah RM2.3 bilion," ujar beliau.

Ekoran itu, katanya, Bank Islam akan mempertimbangkan untuk meneruskan penganjuran kempen itu pada tahun depan dengan melakukan penambahbaikan.

"Bank Islam sentiasa bersedia untuk membantu individu yang layak untuk membeli rumah idaman mereka dengan menyediakan akses kepada pembiayaan yang kompetitif serta patuh syariah," jelasnya.