'Kabinet baharu susunan terbaik' - MB Negeri Sembilan

Aminuddin (depan) ketika meninjau sekitar Kompleks JHEAINS Kuala Pilah.
Aminuddin (depan) ketika meninjau sekitar Kompleks JHEAINS Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan pembentukan kabinet baharu adalah susunan terbaik yang dilantik dalam usaha mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan sara hidup.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan ia merupakan satu amanah yang besar dalam keadaan negara juga berdepan dengan masalah bekalan makanan.

"Kita berharap bahawa dengan kerja keras mereka (barisan kabinet baharu) susunan terbaik ini, kita segera keluar daripada kemelut-kemelut yang kita hadapi.

"Selain itu, kita sedia maklum beberapa tahun kebelakangan ini Negeri Sembilan berada dalam sebuah kerajaan pembangkang, justeru dengan kebersamaan ini (Kerajaan Perpaduan) kita mampu membangunkan dengan lebih baik lagi khususnya pembangunan infrastruktur di negeri ini dapat disegerakan.

"Ia bagi memastikan pembangunan ekonomi di negeri ini dapat dirancakkan lebih cepat lagi seperti projek jalan raya sekali gus memberi kebaikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kompleks Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Kuala Pilah pada Isnin.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan sekali lagi mengulangi pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun katanya, ia terserah kepada pucuk pimpinan gabungan itu untuk menentukannya.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH dari segi apa yang berlaku nampak persefahaman yang baik. Kalau di peringkat sekarang, ya (ada persefahaman) tetapi kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mereka berbincang mencari satu kata putus pada masa akan datang.

"Kalau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kita selesai, lima tahun akan datang (PRU16) perlu ada perbincangan di peringkat pimpinan dan berdasarkan apa yang diputuskan itu, saya harap di peringkat bawah akan terima," katanya.