Cabaran TH kekalkan pulangan pelaburan

Kadar hibah Tabung Haji dijangka turun pada tahun ini tetapi masih kompetitif menurut penganalisis ekonomi. (Gambar dalam dari atas:Aimi Zulhazmi dan Ahmed Razman)
Kadar hibah Tabung Haji dijangka turun pada tahun ini tetapi masih kompetitif menurut penganalisis ekonomi. (Gambar dalam dari atas:Aimi Zulhazmi dan Ahmed Razman)
A
A
A

KADAR hibah Lembaga Tabung Haji (TH) pada tahun ini dijangka turun tetapi masih kompetitif dan berdaya saing iaitu antara 2.5 ke 3 peratus selepas zakat dilunaskan untuk pendeposit.

Unjuran munasabah pulangan itu dilihat berdasarkan pelbagai cabaran yang dilalui institusi itu sepanjang tahun 2022.

Ini termasuklah kenaikan kadar inflasi, perang Rusia dan Ukraine, prestasi bursa yang tidak memuaskan, kemerosotan nilai ringgit dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang meningkatkan biaya pinjamannya.

Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi TH adalah bersamaan dengan institusi pelaburan lain yang menghadapi cabaran untuk mengekalkan pulangan pelaburan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kalau dilihat, indeks Bursa Malaysia telah turun dari paras tertinggi 1,603 mata pada bulan April kepada paras terendah 1,378 mata pada Oktober lalu berikutan ketidakstabilan politik.

“Sehinggalah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), indeks mendaki semula dan selari dengan kembalinya kekuatan Ringgit Malaysia berbanding dengan mata wang Dolar Amerika Syarikat (AS).

“Kesan daripada pandemik Covid-19 juga masih dirasakan di semua sektor ekonomi dan banyak yang masih belum pulih sepenuhnya, misalnya sektor pelancongan. Kenaikan OPR juga memberi tekanan kepada kadar pembiayaan TH di mana 1.0 peratus telah dinaikkan dalam tempoh kurang enam bulan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Aimi Zulhazmi, sektor perladangan telah membantu TH mencatatkan keuntungan tahun lalu dengan harga minyak sawit di paras yang tertinggi pada tahun 2021 tetapi telah menurun harganya pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

“TH juga banyak beralih kepada simpanan tetap seperti sukuk dan deposit tetap di institusi-institusi perbankan Islam. Ini dapat mengimbangkan pengurangan dari pelaburan ekuiti berikutan prestasi bursa saham yang tidak memberangsangkan.

“Kelemahan mata wang ringgit berbanding Dolar AS turut memberi kesan dengan kenaikan kos mengerjakan haji untuk setiap jemaah, maka lebih subsidi untuk setiap jemaah perlu dibelanjakan oleh TH,” ujar beliau.

Ujarnya, dengan inisiatif TH mewujudkan Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 diyakini akan memacu dan mengukuhkan kedudukannya.

Selasa lalu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH mampu mencatatkan keuntungan yang kompetitif dan dijangka akan menambahkan lagi keyakinan pendepositnya.

Malah beliau menjangkakan, tahun 2023 akan terus menjadi tahun mencabar bagi TH dan kumpulan itu sedang merangka strategi serta mengkaji cara untuk merancang sistem pelaburan mengekalkan kesinambungan masa hadapan.

Beliau tidak menolak pandemik Covid-19 telah memberikan kesan kepada pelaburan dan tahap deposit TH.

“Semasa pandemik, orang ramai menemui cara baharu untuk bekerja dan tidak begitu memerlukan pejabat fizikal.

“Memandangkan TH mempunyai pelaburan besar dalam hartanah, sewa ruang adalah suatu yang sangat mencabar. Selain itu, pengeluaran wang juga melonjak semasa pandemik.

“Pengagihan keuntungan akan menjadi satu cabaran pada masa depan kerana kami perlu menarik deposit kerana memerlukan wang untuk menjaga wang tetapi kami mempunyai profil risiko tertentu yang perlu dipatuhi dan pada masa sama bersaing berbanding pelaburan alternatif lain. Jadi ia adalah satu cabaran bagi kami,” kata Amrin.

Peluang pelaburan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 boleh membawa kepada kos operasi TH dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan meneroka lebih banyak peluang pelaburan yang membawa pulangan lebih tinggi.

Pelan itu yang bertujuan untuk memastikan TH bersifat kalis masa depan dirangka tepat pada masanya kerana TH perlu memastikan ia terus memperoleh keuntungan, mempunyai aset yang melebihi liabiliti dan memiliki sumber mencukupi untuk menampung kenaikan kos haji.

“Tahun depan keadaan ekonomi lebih mencabar kerana jemaah yang menunaikan haji akan melebihi kuota sebelum ini. Anggaran peruntukannya sekitar RM400 juta untuk kos menunaikan haji yang sudah meningkat.

“Namun, saya melihat TH ada potensi yang lebih bagus pada tahun depan. Ia berdasarkan pasaran saham yang menunjukkan peningkatan serta adanya pelan transformasi walaupun mencabar dalam memberikan pulangan tinggi pada tahun depan.

“Saya jangka TH akan mengisytiharkan hibah dalam lingkungan 2.75 peratus hingga 3.10 peratus. Jika pelan transformasi ini berjaya dilaksanakan dengan berkesan, saya yakin potensi menjadi lebih tinggi pada tahun depan,” jelasnya.

Beliau turut menjangkakan pelaburan ekuiti menjadi antara penyumbang utama kepada keuntungan TH pada tahun depan terutama ekuiti luar negara kerana pasaran hartanah masih lagi belum meningkat sepenuhnya.

Mengenai rancangan TH untuk memperhalusi Akta Tabung Haji 1995, beliau yakin sebarang nilai tambah yang boleh memberi manfaat kepada pendeposit akan disambut baik.