'Jho Low 2' akan dihantar ke China bulan ini

Teow Wooi Huat
Teow Wooi Huat
A
A
A

BANGKOK - Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Teow Wooi Huat dijangka dihantar ke China sebelum akhir bulan ini, kata penolong ketua polis Thailand Lt Jen Surachate Hakparn.

Walaupun polis Malaysia juga meminta Wooi Huat dihantar pulang, Surachate berkata "tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap Wooi Huat di Malaysia”.

Beliau berkata polis Thailand menerima permintaan ekstradisi daripada kerajaan China.

"Kami berusaha (ekstradisi Wooi Huat) selama lebih sebulan. Kami mengemukakan permintaan kepada Peguam Negara. Sebaik selesai, Wooi Huat akan dihantar pulang ke China sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan yang diburu Malaysia Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

Pada 22 Julai, Wooi Huat pengasas Kumpulan MBI ditahan Polis Imigresen Thailand selepas visanya dibatalkan dan sejak itu dia menunggu pengusiran pihak berkuasa Thailand.

Malaysia dan China memburu Wooi Huat. China difahamkan merupakan negara pertama yang meminta Teow diekstradisi.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat berikutan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai hampir RM100 juta.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Julai lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pasukan itu dalam proses memohon Wooi Huat dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Wooi Huat menjadi tajuk utama di Thailand. Pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM160,000 atas dua pertuduhan menipu lebih RM1 juta dalam skim pelaburan - Island Red Café.

Pada 2017, pihak berkuasa Malaysia membekukan sejumlah 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI International.

Pada 2019, ratusan warga China mengadakan bantahan secara aman di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur mendakwa mereka ditipu skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI.

Tahun lepas, polis berkata, Wooi Huat dan dua anak lelakinya terlibat dalam skim penipuan Macau Scam melibatkan RM336 juta.

Bagaimanapun, polis percaya Teow telah melarikan diri ke negara itu dan bersembunyi di Dannok, Sadao, selatan Thailand. - Bernama.