Kempen larangan guna straw, plastik

Tung Seang dan Sue Ling menyerahkan poster kempen 'Tak Nak Straw' kepada salah seorang peniaga di Queens Hall, Pasaraya Queensbay ketika melancarkan kempen 'Katakan Tidak Kepada Penyedut Minuman Plastik dan Plastik Sekali Guna' tadi.
Tung Seang dan Sue Ling menyerahkan poster kempen 'Tak Nak Straw' kepada salah seorang peniaga di Queens Hall, Pasaraya Queensbay ketika melancarkan kempen 'Katakan Tidak Kepada Penyedut Minuman Plastik dan Plastik Sekali Guna' tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - Pasaraya Queensbay muncul pasar raya ketiga melaksanakan kempen larangan penggunaan plastik sekali guna yang dilancarkan Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini.

Penolong Pengurus Pusat Pasaraya Queensbay, Lee Sue Ling berkata, sebelum ini, di bawah pengurusan yang sama, kempen itu turut dilaksanakan di Pasaraya Gurney Plaza dan Pasaraya Gurney Paragon.

Menurutnya, pihak pengurusan dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan kempen itu bagi menunjukkan keprihatinan syarikat terhadap alam sekitar.

"Program ini dilihat amat baik kerana ia akan memberi impak yang positif ke atas alam sekitar. Tiada alasan untuk kami tidak menyokong inisiatif kerajaan negeri.

"Untuk permulaan, ia bukan larangan tetapi lebih kepada galakan kepada peniaga.

"Kempen itu juga bertujuan untuk mendidik peniaga dan orang ramai agar tidak menggunakan penyedut minuman dan plastik sekali guna demi menjaga alam sekitar," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Sue Ling mengiringi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang mengedarkan poster 'Tak Nak Straw' kepada peniaga di medan selera Queen Hall di sini.

Sementara itu, Tung Seang berkata, sejak November tahun lalu sehingga Mac tahun ini, MBPP telah memberi pendidikan am kepada 1,311 premis makanan berlesen berhubung kempen 'Katakan Tidak Kepada Penyedut Minuman Plastik dan Plastik Sekali Guna'.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya mensasarkan 1,560 premis makanan berlesen akan diberikan pendidikan am tersebut menjelang akhir tahun ini.

"Dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri yang kini dalam usaha untuk memperkasakan kempen larangan menggunakan plastik, MBPP kini menyediakan pendedahan dan pendidikan kepada peniaga serta orang ramai tentang pentingnya inisiatif ini.

"MBPP akan memantau perkembangan pelaksanaan selain menyediakan garis panduan untuk mengurangkan penggunaan penyedut minuman dan plastik sekali guna.

"Selain itu, MBPP juga bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merangka dasar agar kempen ini mencapai matlamatnya.

"Dengan usaha ini, kita berharap agar Pulau Pinang akan menjadi salah satu bandar yang bebas daripada pencemaran plastik pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sambutan yang diterima dari peniaga dan orang ramai amat menggalakkan.

"Selain pasar raya, kita juga melancarkan kempen ini di hotel-hotel, stesen minyak, kedai makan, lapangan terbang dan restoran di negeri ini. Setakat ini, kita memberi kesedaran kepada orang ramai dan ada yang sudah boleh menerimanya.

"Kita juga mensasarkan golongan belia dengan menggalakkan mereka tidak menggunakan penyedut minuman dan plastik sekali guna yang boleh menjejaskan alam sekitar," katanya.

Program ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan Kerajaan Pulau Pinang pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Susulan dari kempen tersebut, kerajaan negeri menggesa pengusaha makanan dan hotel mengurangkan penggunaan penyedut minuman, selain semua pihak diharap dapat memberi kerjasama untuk menjayakan kempen berkenaan.