Penganggur tipu duit, menyamar penghulu Tumpat ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang penganggur ditahan pada Jumaat selepas memperdaya seorang ahli perniagaan sebanyak RM2,800.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa pada jam 4.48 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada 29 Oktober lalu suspek telah menghubungi isteri mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai penghulu Tumpat.

"Pada masa sama, suspek turut menggunakan nama tok imam bagi meminta sumbangan untuk menjayakan majlis melibatkan anak yatim di Masjid Tumpat.

"Susulan itu pada hari yang sama mangsa telah membuat transaksi berjumlah RM500 ke akaun suspek untuk tujuan memasak gulai kawah.

"Suspek kemudian memaklumkan wang tersebut masih belum mencukupi untuk memasak sekawah gulai yang dianggarkan berjumlah RM2,300," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini pada Sabtu.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai yang terlibat di IPD Kuala Krai pada Sabtu.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai yang terlibat di IPD Kuala Krai pada Sabtu.

Menurut beliau, mangsa sekali lagi telah membuat transaksi melibatkan sejumlah wang tersebut ke dalam akaun suspek.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila mengetahui majlis tersebut tidak wujud ketika singgah di Masjid Tumpat pada keesokan harinya selepas bertanyakan mengenai majlis berkenaan kepada tukang kebun.

Susulan itu, Muhamad Zaki berkata, satu laporan telah dibuat di balai berhampiran mengenai kejadian tersebut.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah berkait dengan 'scam' di Pasir Puteh dan satu lagi melibatkan kes rogol di Bachok," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, jenayah komersial di negeri ini meningkat sebanyak 3.4 peratus dan melibatkan kerugian hampir RM8 juta.

Beliau memberitahu bagi kes macau scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dan menyamar sebagai pinjaman wang pula meningkat 2.1 peratus.

"Jika tahun lalu hanya 748 kes, namun tahun ini ia mencatat 764 kes," katanya.