Portfolio kritikal disandang wanita, bukti mereka boleh

Mas Ermieyati dan kenyataan beliau pada Sabtu.
Mas Ermieyati dan kenyataan beliau pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan dua ahli Parlimen wanita sebagai menteri pendidikan dan kesihatan yang selama ini disandang lelaki membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelantikan dalam portfolio yang kritikal itu sekali gus mencerminkan pemerkasaan perhatian terhadap kaum berkenaan dalam hal ehwal negara.

Menurut beliau, kepimpinan wanita di negara ini perlu lebih bersatu melangkaui batas politik dalam mewujudkan masa hadapan lebih baik kepada mereka.

“Tahniah juga buat menteri wanita yang diletakkan di portfolio baru yang selama ini didominasi oleh ahli Parlimen lelaki. Tugas berat menanti Fadhlina Siddiq (Menteri Pendidikan).

“Tapi saya yakin beliau boleh lakukan ini. Insya-ALLAH. begitu Juga dengan Dr Zaleha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menerusi pengumuman barisan kabinet menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 28 ahli Parlimen telah diberi amanah untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Pelantikan itu melibatkan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antara portfolio lain yang turut disandang oleh wanita adalah seperti Menteri Belia dan Sukan oleh Hannah Yeoh dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Artikel Berkaitan:

Manakala Menteri Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang) diberikan kepada Datuk Seri Azalina Othman.

Mengulas pelantikan Azalina dalam jawatan itu, Mas Ermieyati berharap agar beliau komited dalam meneruskan aspirasi penyandang sebelumnya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya juga berharap agar Rang Undang- Undang (RUU) jenayah intip dan hendap (Anti Stalking) dapat dibuat bacaan semula dan diluluskan. RUU ini penting bagi menjamin keselamatan mangsa.

“Bahkan bukan itu saja, banyak isu lain menanti seperti isu kewarganegaraan, RUU sumbangan dana politik, hukuman mati mandatori dan banyak lagi,” jelas beliau.