Covid-19: Kes harian baharu terkawal, kes aktif 24,467

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13,169 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan untuk tempoh enam hari Rangkuman Mingguan ini (26 November-1 Disember 2022), susut sekitar 13 peratus berbanding 15,134 kes untuk tempoh 19 November-24 November 2022.

Angka kes baharu kekal bawah paras 3,000 sepanjang tempoh Rangkuman ini dan semalam (1 Disember), sebanyak 2,375 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan termasuk 11 kes kematian dan empat (4) kes import.

Untuk rekod, sebanyak 51 kes kematian dilaporkan untuk tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian negara akibat Covid-19 sebanyak 36,695 kes. Angka kes kematian tinggi dilaporkan pada 30 November sebanyak 17 kes.

Daripada 2,375 kes harian baharu dilaporkan semalam, Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan 596 kes, diikuti WP Kuala Lumpur (254), Kedah (238), Sarawak (176), Sabah (168), Melaka (160), Pulau Pinang (133), Kelantan (131), Pahang (107) dan Perak (107).

Kes dua angka dilaporkan di Negeri Sembilan (93), WP Putrajaya 75), Terengganu (73), Johor (43) dan WP Labuan (16). Perlis mencatat kes satu angka (5).

Untuk bulan November 2022 setakat ini, kes terendah dicatat pada 20 November (1,633) dan tertinggi pada 3 November sebanyak 4,711 kes.

Sementara itu, kes aktif Covid-19 menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KKMNOW dikemaskini pukul 11:59 malam 1 Disember 2022 adalah sebanyak 24,467 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 22,637 kes (92.5 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 2,857 kes sembuh pesakit Covid-19 diaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes sembuh negara setakat ini sebanyak 4,933,381 kes.

Artikel Berkaitan:

Dengan sebanyak 4,994,543 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini menduduki tangga 27 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Ukraine (5,336,293) dan Greece (5,404,690).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (118,201) diikuti oleh Perancis (69,253) dan Korea Selatan (57,079).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,106,236 kes.

Data KKMNOW setakat pukul 11:59mlm 1 Disember 2022 menunjukkan 22,637 kes (92.5 peratus) daripada 24,467 kes aktif Covid-19 dikuarantin di rumah.

Sifar ​​​(0) di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC); Covid-191,739 kes (7.1 peratus) di hospital; 34 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 57 kes (0.2 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Sementara itu, jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah sebanyak 648,502,557 kes berbanding 645,602,109 kes minggu lepas dengan 6,642,532 kes kematian (jumlah kes kematian minggu sebelumnya sebanyak 6,635,134 kes).

Sebanyak 626,258,602 kes sembuh dilaporkan berbanding 624,295,755 kes sembuh minggu sebelumnya.

Sebanyak 228 negara/wilayah dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Perancis, Jerman, Brazil, Korea Selatan, Jepun, Itali, United Kingdom dan Rusia. - Bernama