Tambah baik sistem federalisme antara Putrajaya, kerajaan negeri

Kepimpinan PH Johor merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor kerana sekali lagi memilih gabungan itu pada PRU15.
Kepimpinan PH Johor merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor kerana sekali lagi memilih gabungan itu pada PRU15.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor yakin kerajaan Persekutuan akan menyuntik perspektif baharu dalam menambah baik sistem federalisme yang lebih seimbang dan adil antara Putrajaya dan kerajaan negeri termasuk Johor.

PH Johor dalam satu kenyataan memberitahu, perkembangan itu dapat menyumbang kepada kebangkitan semula ekonomi, kesihatan, pembangunan dan kualiti hidup buat seluruh rakyat Malaysia.

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga telah membuka lembaran baharu ke arah politik yang lebih matang, terutamanya menjalin kerjasama antara gabungan parti, bagi membuktikan bahawa Malaysia memerlukan kepercayaan, keyakinan dan usaha sama pimpinan tanpa mengira latar belakang politik demi mengangkat kepentingan rakyat.

"Sehubungan itu, Pakatan Harapan Johor menyeru Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar memperkukuhkan kerjasama dwipartisan di antara kerajaan negeri dan pembangkang di Dewan Negeri Johor (DUN) dalam agenda kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama melibatkan Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor; Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

PH Johor berkata, pihaknya terbuka serta komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, Johor kini menjadi negeri barisan hadapan PH di peringkat kebangsaan sejak PRU14.

Jelas PH Johor, negeri ini satu ketika dahulu merupakan kubu kuat BN sudah mula terbuka pintu gerbangnya untuk PH pada PRU14 manakala pada PRU15 semakin mengukukah kedudukan dan pengaruhnya di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Pada PRU15 PH dengan kerjasama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berjaya memenangi 15 kerusi Parlimen di Johor berbanding BN yang hanya mendapat sembilan kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

"Keputusan ini amat bermakna buat PH untuk meneruskan momentum memperjuangkan kesejahteraan rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu," tambah kenyataan itu.

PH Johor katanya, merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang keluar mengundi beramai-ramai pada PRU15 termasuk mereka yang pulang dari luar negeri dan memberi sokongan padu bagi mengekalkan kemenangan PH di 15 kerusi Parlimen.

Keputusan berkenaan menurut mereka, amat penting kerana Johor telah menyumbang 15 daripada jumlah 82 kerusi Parlimen yang dimenangi PH di peringkat kebangsaan.

"Kebangkitan Bangsa Johor dalam PRU15 adalah satu mesej jelas bahawa rakyat mahukan kepimpinan berwibawa PH di peringkat Persekutuan serta pilihan majoriti di Johor," jelas kenyataan itu lagi.