Polis tahan lelaki terlibat kes gangguan seksual

Video tular di Twitter memaparkan seorang wanita yang mendakwa diganggu seksual oleh seorang lelaki di sini pada Khamis.
Video tular di Twitter memaparkan seorang wanita yang mendakwa diganggu seksual oleh seorang lelaki di sini pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki diberkas dipercayai terlibat dalam gangguan seksual menerusi video tular yang dimuat naik menerusi Twitter pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan dibuat seorang wanita berkaitan kejadian kira-kira jam 8.17 malam.

"Mangsa yang merupakan wanita warga tempatan membuat laporan polis setelah menerima gangguan seksual dari seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Siasatan dijalankan polis kemudiannya turut mengesan satu video berdurasi 14 saat yang mempunyai kaitan dengan laporan tersebut telah tular di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, video tersebut mendapat lebih 800 komen dan dikongsi 4000 kali.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari IPD Petaling Jaya kemudiannya memberkas seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Suspek yang diberkas kira-kira jam 5 petang itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada Jumaat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, tular video di media sosial yang dimuat naik oleh pemilik akaun twitter mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 29 November di kawasan Ara Damansara di sini.