Dividen TH diunjur 2.75 hingga 3.10 peratus tahun ini

Pakar ekonomi menjangkakan dividen TH diunjur 2.75 hingga 3.10 peratus tahun ini.
Pakar ekonomi menjangkakan dividen TH diunjur 2.75 hingga 3.10 peratus tahun ini.
A
A
A

PAKAR ekonomi menjangkakan Lembaga Tabung Haji (TH) mengisytiharkan dividen dalam lingkungan 2.75 peratus hingga 3.10 peratus tahun ini disebabkan persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa yang buruk selain TH juga perlu terus melaksanakan strategi pemulihannya.

Ahli Akademik di Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketika tempoh sukar dengan keadaan pasaran tidak menentu ini, TH telah mula melaksanakan strategi yang ditetapkan untuk masa depan sebagai satu tindak balas terhadap cabaran luaran dan dalaman.

"Kadar dividen diunjurkan sama, jika tidak lebih rendah, berbanding tahun lepas. Ia hampir pasti tidak akan lebih tinggi kerana pasaran masih menjalani pemulihan, perlu ingat bahawa TH sedang menghadapi cabaran untuk mengekalkan keuntungan, mengisytiharkan dividen yang baik, dan yang paling penting mengenai kos haji, yang kini meningkat secara mendadak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata,jangkaan itu berdasarkan penilaian ke atas prestasi TH bagi separuh pertama tahun ini, yang menyaksikan kos operasi dan pentadbirannya meningkat sebanyak 3.6 peratus, yang setanding dengan kadar inflasi semasa.

Mengenai Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 TH, yang bertujuan supaya TH bersifat kalis masa depan dan memastikan kerelevanannya, Ahmed Razman berkata, pelan itu dirangka tepat pada masanya kerana TH perlu memastikan ia terus memperoleh keuntungan, mempunyai aset yang melebihi liabiliti dan memiliki sumber yang mencukupi untuk menampung kenaikan kos haji.

"Mungkin mekanisme semasa tidak lagi mampan untuk jangka masa panjang dan saya yakin TH mesti meneliti bantuan bersasar untuk haji, mungkin untuk kalangan B40 dan bukannya bantuan secara menyeluruh,” katanya.

Mengenai rancangan TH untuk menghalusi Akta Tabung Haji 1995, beliau yakin sebarang nilai tambah yang boleh memberi manfaat kepada pendeposit akan disambut baik.

Seorang lagi ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai menawarkan pandangan yang lebih konservatif dengan menekankan bahawa dividen itu akan menjejaki pergerakan kadar faedah semasa, yang berada pada 2.75 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Perlu ingat bahawa TH belum pulih sepenuhnya daripada masalahnya dan masih dalam pelan pemulihan, selain itu mereka perlu menyelesaikan isu tertunggak sebelum benar-benar dapat menunjukkan prestasi yang sebenar,” katanya.

Pada Rabu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH kini menumpukan pelan pemulihan untuk kumpulannya dan akan mula meneliti anak-anak syarikatnya yang termasuk TH Properties, TH Plantation, Bank Islam Malaysia Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia.

Barjoyai berkata, aset TH terutamanya aset pendapatan tetap, pulangannya ditentukan oleh kadar faedah pasaran dan modal pendapatan yang besar tidak boleh diharapkan daripada portfolio ini.

Sehingga 30 September 2022 kedudukan aset TH meliputi pendapatan tetap sebanyak 60.1 peratus atau RM52.79 bilion, hartanah (8.7 peratus atau RM7.63 bilion), ekuiti domestik berjumlah 16.5 peratus (RM14.51 bilion), ekuiti asing sebanyak 5.1 peratus (RM4.49 bilion), ekuiti persendirian pada 1.1 peratus (RM974 juta) dan pasaran wang pula sebanyak 8.5 peratus (RM7.44 bilion).

"Bagi mereka mencatatkan kadar dividen di antara lima dengan enam peratus, ia akan mengambil masa tiga hingga empat tahun selepas pelan pemulihan selesai dilaksanakan,” katanya. - Bernama