Banjir kilat di Selangor tidak seteruk tahun lepas

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyifatkan insiden banjir kilat di beberapa daerah di negeri itu tidak terlalu buruk jika dibandingkan dengan bencana yang berlaku pada Disember pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Menurut Amirudin, antara usaha segera yang digerakkan ialah membuka beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir.

“Kita sudah harungi banjir di beberapa kawasan, tidaklah begitu parah berbanding tahun lepas, tapi kita kena teruskan bersiap sedia untuk elakkan apa yang berlaku tahun lepas berulang.

“Saya percaya persediaan kita dengan PPS masih dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi sehingga Januari nanti,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah.

Borhan (dua kiri) mengiringi Amirudin (tengah) menyampaikan Batik Selangor kepada Exco Kerajaan Selangor, Ir Izham Hashim (dua kanan).
Borhan (dua kiri) mengiringi Amirudin (tengah) menyampaikan Batik Selangor kepada Exco Kerajaan Selangor, Ir Izham Hashim (dua kanan).

Dalam pada itu, Amirudin menambah, kerajaan negeri juga akan menumpukan perhatian di beberapa kawasan yang dikatakan kerap berlaku banjir antaranya Meru, Klang, Dengkil dan Sepang.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar berkata, kawasan-kawasan berkenaan sememangnya lokasi yang akan dinaiki air, namun tidak berlarutan lama seperti yang berlaku pada tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu untuk tahun ini pula, Amirudin berkata, ia masih dalam proses sebelum dapat untuk diagihkan kepada mereka yang terlibat.

Media sebelum ini melaporkan seramai 633 mangsa banjir di Selangor ditempatkan di tiga PPS susulan insiden banjir yang melanda beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang berikutan cuaca hujan lebat selama beberapa hari November lalu.