Budak jatuh pelantar ikan ditemui lemas

Mayat mangsa dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis. - Foto Bomba Perak
Mayat mangsa dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis. - Foto Bomba Perak
A
A
A

BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki Rohingya yang terjatuh dari pelantar ikan di Hutan Melintang pada malam Rabu ditemui lemas pagi Khamis.

Mayat mangsa, Hanan Mohd Junid, 9, ditemui dalam keadaan terapung di perairan Sungai Bernam pada jam 11.16 pagi pada Khamis, kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pengecaman dilakukan bapa mangsa mengesahkan mayat dijumpai itu adalah anaknya yang hilang sejak Rabu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pada jam 9.11 malam daripada bapa mangsa berusia 39 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan dibuat, kanak-kanak terbabit disedari hilang dan dikhuatiri terjatuh dalam sungai berdasarkan penemuan selipar mangsa berhampiran lokasi kejadian.

"Bapa mangsa warga Myanmar bekerja di pelantar ikan itu dan semasa kejadian, dia membawa bersama anaknya ke tempat kerja," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang pada jam 7.08 pagi dengan dua unit bot digunakan bersama lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan polis.

Artikel Berkaitan:

Operasi ditutup sepenuhnya jam 12.45 tengah hari.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Rohingya dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari pelantar ikan di Hutan Melintang di sini.