Skandal sorok wang tunai bawah sofa terbongkar

Kedudukan Ramaphosa kini tergugat selepas pemilihan dalaman ANC akan menentukan sama ada beliau akan bertanding untuk penggal kedua atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Presiden 2024. - Foto Agensi
Kedudukan Ramaphosa kini tergugat selepas pemilihan dalaman ANC akan menentukan sama ada beliau akan bertanding untuk penggal kedua atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Presiden 2024. - Foto Agensi
A
A
A

CAPE TOWN - Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berdepan tekanan baharu pada Rabu selepas panel yang menyiasat skandal rompakan di rumah ladangnya menemui bukti mencukupi untuk mewajarkan sesi perbahasan di Parlimen bagi menentukan usul pemecatan beliau.

Parlimen dilaporkan bersedia untuk memeriksa laporan itu dan memutuskan sama ada mahu meneruskan prosiding pemecatan pada minggu depan, beberapa hari sebelum Ramaphosa, 70, bakal menghadapi pemilihan dalaman Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang penting.

"Hasil maklumat yang kami peroleh mendapati Presiden mungkin telah melakukan pelanggaran dan salah laku yang serius," jelas kandungan laporan itu yang turut menyebut Ramaphosa tidak melaporkannya kepada polis yang mana ia jelas melanggar undang-undang negara tersebut.

Skandal yang telah mencalarkan imej pemimpin itu terbongkar selepas bekas ketua risikan yang merupakan sekutu pendahulunya, Jacob Zuma membuat laporan kepada pihak berkuasa pada Jun lalu.

Menurutnya, Ramaphosa didakwa merahsiakan kejadian rompakan di rumah ladang beliau di Phala Phala di wilayah Limpopo.

Lebih mengejutkan, pemimpin tersebut dikatakan 'menyembunyikan' wang tunai berjumlah kira-kira AS$4 juta (RM17.6 juta) di bawah kusyen sofa di kediaman tersebut yang dilarikan perompak berkenaan.

Difahamkan, kecurian wang di kediaman Presiden yang berikrar untuk membasmi rasuah itu telah mencetuskan tanda tanya dari mana wang sebanyak itu diperoleh.

Ramaphosa cuba mempertahankan dirinya dengan menyatakan wang tersebut adalah bayaran dibuat seorang warga Sudan untuk urus niaga membeli kerbau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, beberapa parti pembangkang telah menggesa siasatan menyeluruh dilancarkan ke atas insiden itu untuk mengesahkan sama ada wang dalam mata wang asing yang dicuri itu telah diisytiharkan kepada Perkhidmatan Hasil Afrika Selatan.

Perikatan Demokratik yang merupakan parti pembangkang terbesar menegaskan Ramaphosa perlu tampil memberi penjelasan tentang skandal rompakan tersebut yang menyaksikan beliau berulang kali menafikan tuduhan dilemparkan terhadapnya. - Agensi