Lelaki bogel curi ambulans bawa pesakit nazak

WISCONSIN – Seorang lelaki didakwa mencuri sebuah ambulans yang membawa pesakit tenat sebelum memandu kenderaan itu dalam keadaan bogel dan dikejar polis dalam satu insiden berkelajuan tinggi di Wisconsin Rapids, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Suspek, Benjamin Feltz, 37, didakwa menyelinap masuk ke tempat duduk pemandu ambulans tanpa memakai sebarang pakaian ketika pasukan paramedik sedang memuatkan seorang pesakit yang mengalami kecederaan kritikal ke bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Menurut laporan, lelaki itu kemudian menutup pintu dan terus memecut meninggalkan lokasi, menyebabkan polis melancarkan operasi mengejar kenderaan tersebut selama lebih 40 minit.
Ketika kejadian, pesakit wanita berusia 50 tahun yang berada di bahagian belakang ambulans itu dilaporkan memberitahu suspek bahawa dia sedang nazak akibat penyakit buah pinggang dan merayu supaya berpatah balik.
Pengejaran tersebut berakhir kira-kira 18 batu dari lokasi awal di bandar Pittsville selepas seorang pegawai menggunakan jalur paku bagi mengempiskan tayar ambulans berkenaan.
Feltz dilaporkan enggan mematuhi arahan polis untuk keluar dari kenderaan, menyebabkan pihak berkuasa menggunakan dron bagi memantau pergerakannya dari jarak selamat atas faktor keselamatan pesakit.
Selepas diberkas, suspek dilaporkan memaki hamun anggota polis dan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan termasuk “Saya akan belasah kamu” dan “Sudah tiba masanya kamu merasai kesakitan saya”.
Menurut polis, Feltz yang tidak memiliki lesen memandu sah itu, kini berdepan 10 pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, suspek dan pesakit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ambulans terbabit hanya mengalami kerosakan kecil.
Ujian pernafasan mendapati tiada alkohol dalam sistem badan suspek. Namun, berdasarkan laporan tangkapan polis Wisconsin Rapids, terdapat kesan ganja dalam sistem badan Feltz selain dia mengaku meminum setengah botol pencuci lantai pada petang kejadian.
Sebelum kejadian, beberapa saksi mendakwa melihat suspek melakukan tekan tubi dalam keadaan bogel di tempat awam sambil menjerit kata-kata kesat kepada orang awam.
Laporan polis turut menyebut bahawa lelaki tersebut tidak memberikan alasan jelas terhadap tindakannya dan menyatakan perbuatan berkenaan bukan bertujuan untuk mencederakan atau membunuh dirinya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki didakwa mencuri ambulans yang membawa pesakit tenat sambil bogel dan dikejar polis di Wisconsin
- Suspek, Benjamin Feltz berusia 37 tahun, menyetir ambulans tanpa pakaian dan memecut meninggalkan lokasi
- Pengejaran oleh polis berakhir 18 batu dari lokasi awal dengan penggunaan jalur paku untuk mengempiskan tayar
- Feltz menghadapi 10 pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk, tidak memiliki lesen memandu
- Suspek dan pesakit tidak cedera, ambulans mengalami kerosakan kecil, Feltz positif ganja dan mengaku meminum pencuci lantai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

