4,000 kes denggi dikesan di Subang Jaya

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesan 4,000 kes demam denggi di sekitar bandar raya itu sehingga minggu epid ke-47 antara 20 November sehingga 26 November lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar memaklumkan empat lokaliti titik panas atau hotspot denggi turut dikesan dalam kawasan pentadbiran MBSJ.

"Empat lokaliti hotspot denggi di kawasan pentadbiran MBSJ dikesan di Kota Perdana 4 (Pangsapuri Mawar Jaya) melibatkan enam kes dan Taman Pinggiran Putra (Pangsapuri Vista Pinggiran) melibatkan tujuh kes.

"Dua lagi lokaliti ialah di Taman Lestari Putra 3 melibatkan lapan kes dan Taman Bukit Serdang 3 melibatkan 10 kes," katanya selepas Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2022 di Ibu Pejabat MBSJ pada Khamis.

Dalam pada itu, Johary berkata, hasil pemantauan mendapati tempat kerap dijumpai pembiakan aedes adalah di lorong belakang kebun komuniti dan lokasi sampah haram yang dibuang.

Justeru, Johary menasihatkan masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk membersihkan kawasan persekitaran kediaman atau premis dari tempat pembiakan aedes.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk membuat semburan aerosol di dalam premis dan menggunakan repellan apabila keluar terutama mereka yang tinggal di kawasan wabak denggi," tambahnya.

Artikel Berkaitan: