Ahmad Zahid masih layak jadi TPM

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap orang yang paling layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) setakat ini.

Ini kerana Ahmad Zahid dikatakan sebagai ketua parti yang berpengalaman dan bertanggungjawab memastikan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempurna dengan penglibatan BN.

Meskipun Pengerusi BN itu mempunyai kes yang sedang berjalan di mahkamah namun itu bukan penghalang untuk beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ini terbukti apabila seramai 130 Ketua UMNO Bahagian termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menyuarakan solidariti terhadap Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan 'kembali' kepada hierarki dan keputusan parti.

Beliau berkata, berdasarkan hierarki parti, Ahmad Zahid adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Ahmad Zahid sebelum ini didesak untuk berundur selepas kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN hanya memenangi 30 kerusi berbanding 79 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 sekali gus mencatat rekod pencapaian terburuknya dalam PRU.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendedahkan terdapat gerakan membersihkan imej Presiden UMNO itu untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Tun Mahathir, dalam sistem undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan Ahmad Zahid akan dikatakan oleh pihak berkenaan masih layak menjadi TPM.

Namun, Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin pula mencadangkan Timbalan Presiden parti tersebut, Datuk Seri Mohamad Hasan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan berikutan kredibilitinya diterima rakyat dan parti.

Jelas Muqharabbin, kemenangan besar Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat di Parlimen Rembau dan pengamalan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mampu memberi impak positif.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah kabinetnya dalam kalangan wakil komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka akan diberikan kepada blok terkuat lain dalam kerajaan perpaduan iaitu BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar berkata, itu adalah amalan biasa dalam setiap kerajaan kerana jawatan Perdana Menteri adalah dari Pakatan Harapan (PH), biasanya TPM (akan dipilih) dari parti komponen kuat yang lain.