Rayuan Azeez kes saman fitnah terhadap Guan Eng didengar 19 Mei

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ditetapkan semula pada 19 Mei tahun depan.

Felix Lim, seorang daripada peguam yang mewakili Lim, mengesahkan tarikh pendengaran baharu itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Dr Syahliza Warnoh hari ini.

Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah tetapi telah ditangguhkan.

Hakim Lee memberitahu kedua-dua pihak bahawa panel itu masih belum berehat sejak prosiding bermula pada sebelah pagi.

"Kami perlu memohon maaf kepada anda semua. Kami masih belum rehat dan jam hampir 2 petang...dan berdasarkan anggaran hujahan kedua-dua pihak (memerlukan) satu jam dan (lebih banyak masa) untuk balasan,” katanya.

"Kami fikir dalam keadaan ini, kami perlu menghantarnya kepada pengurusan kes untuk menjadualkan semula tarikh pendengaran baharu,” kata Hakim Lee.

Ahli Parlimen Baling itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak samannya ke atas Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pembinaan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Porres Royan dan Craig Ho mewakili Abdul Azeez manakala Lim diwakili Datuk N. Mureli dan Felix. - Bernama