Penuntut IPTA mengaku tak salah rogol dua remaja

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas lima pertuduhan merogol dua remaja perempuan bawah umur, dari Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh yang kini berusia 18 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Sikamat dari Mei hingga Jun lalu.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh turut didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sekolah sama pada Mac dan Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 4 Januari 2023.

Artikel Berkaitan: