KLIA, LGK kekal lapangan terbang terbaik dunia

KLIA dan LGK berada di kedudukan teratas sebagai lapangan terbang terbaik dunia pada suku ketiga 2022. - Gambar hiasan
KLIA dan LGK berada di kedudukan teratas sebagai lapangan terbang terbaik dunia pada suku ketiga 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) kekal sebagai lapangan terbang terbaik dunia dengan masing-masing mencatatkan skor penuh 5.00 dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) pada suku ketiga (S3 2022).

Kedua-dua lapangan terbang itu juga berada di kedudukan teratas pada suku kedua (S2 2022), kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Bagi suku ketiga, KLIA berkongsi pencapaian itu dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) bersama lapan lagi lapangan terbang lain. LGK merupakan satu-satunya lapangan terbang dalam kategori dua hingga lima mppa yang memperoleh mata penuh dalam kaji selidik itu," kata kenyataan tersebut.

ASQ merupakan kaji selidik global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Menurut Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, perjalanan udara kini mencatatkan pemulihan yang lebih pantas pada separuh kedua tahun ini.

"Dengan pertambahan penumpang yang tiba melalui lapangan terbang, kami ingin menghapuskan sebarang tekanan yang tidak perlu daripada perjalanan mereka dengan memastikan prosedur yang cekap, kemudahan berfungsi dengan baik dan kakitangan lapangan terbang yang mesra," katanya.

Kini lebih banyak syarikat penerbangan telah menyambung semula laluan penerbangan mereka ke Malaysia pada Oktober termasuklah KLM Royal Dutch Airlines, All Nippon Airways dan Lion Air yang masing-masing terbang tanpa henti dari Amsterdam, Tokyo-Haneda dan Surabaya ke Kuala Lumpur.

MAHB juga menyaksikan kembalinya semula laluan Manila-Kota Kinabalu oleh Cebu Pacific dan laluan Pulau Pinang-Denpasar oleh AirAsia di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mengenai prestasi trafik, MAHB berkata, prestasi trafik penumpang di Malaysia pada Oktober mencatatkan 5.4 juta pergerakan dengan 2.1 juta penumpang antarabangsa dan 3.3 juta penumpang domestik, manakala operasi Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) mencatatkan 2.9 juta penumpang (antarabangsa: 1.5 juta; domestik: 1.4 juta).

Berbanding bulan sebelumnya, trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak sembilan peratus di lapangan terbang kumpulan itu di Malaysia dan tiga peratus di SAW.

Secara keseluruhan, MAHB merekodkan 8.3 juta pergerakan penumpang untuk Oktober, melepasi paras 8 juta untuk bulan kedua berturut-turut. - Bernama