AMK minta henti sebar kebencian tidak berasas

Kamil dan kenyataan AMK pada Rabu.
Kamil dan kenyataan AMK pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pemimpin yang penuh dengan adu domba perlu segera berhenti menyebar dakyah kebencian tidak berasas sebaliknya menumpukan kepada usaha membina semula negara dan memperkukuh ekonomi.

Timbalan Ketuanya, Kamil Munim berkata, gejala itu harus dibendung dengan segera bagi memastikan ia tidak menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam.

Beliau mendakwa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir pimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai melampau, angkuh dan liar.

"Trend ucapan yang menghina, memfitnah dan mencerca pihak yang tidak sehaluan sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sehingga lantikan Perdana Menteri dibuat adalah cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat terutama masyarakat Melayu.

"Terakhir adalah dengan mengaitkan Perdana Menteri yang mempunyai kaitan dengan ejen Israel selain modal lama yang dikitar semula oleh Pas yang jelas berniat jahat untuk menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Melayu-Islam," katanya dalam https://www.sinarharian.com.my/article/233882/berita/politik/amk-gesa-polis-siasat-tuduhan-kaitkan-pm-sebagai-ejen-israel

Pada Isnin, tular rakaman audio berdurasi 58 saat yang mana seorang wanita mengulas mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.

Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa seorang ahli Parlimen memberitahunya ketika bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pelantikan Perdana Menteri menemui jalan buntu berikutan keputusan PRU15.

Menurutnya, ahli Parlimen itu memaklumkan PN telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu, bagaimanapun mendakwa Anwar telah memberi tekanan dengan 'menghubungi Israel dan kuasa asing' untuk campur tangan dalam proses itu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pada Selasa, Ketua AMK Putrajaya, Ezam Saidi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mendesak polis menyiasat dakwaan Anwar yang dikaitkan ejen Israel.

Menurut Kamil, sementara semua pihak menjunjung hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut tidak termasuk untuk menghina dan memfitnah sesuka hati tanpa segan silu.

"Sikap demikian juga tidak sama sekali melambangkan prinsip dan akhlak Islamiyah seperti dilaungkan. Bahkan tindakan tersebut adalah perbuatan yang terkutuk dan hina di sisi agama.

"Mempertahankan kepimpinan ulama itu seharusnya membawa maksud memperteguh nilai-nilai kepimpinan Islam yang menganjurkan perdamaian dan mempamerkan akhlak pimpinan baik bukan mempertahankan sikap pemimpin yang penuh dengan adu domba dan caci maki maka akhirnya akan meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat dan negara," katanya.