[VIDEO] Rasuah: Penolong juruukur MBS didenda RM10,000

Tertuduh diiring pegawai SPRM ketika tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Tertuduh diiring pegawai SPRM ketika tiba di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penolong juruukur bahan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan menerima bayaran RM3,000 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan permohonan pelan ubah suai rumah tiga tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizuan Mohd, 40, bagi pertuduhan pilihan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Menurut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Penolong Juruukur Bahan Gred JA29 di MBS telah bersetuju terima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 melalui pindahan dalam talian.

Wang itu diterima daripada akaun bank seorang lelaki berusia 41 tahun yang mana tertuduh mengetahui ia ada kaitan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di Negeri Sembilan antara 19 Ogos 2019 dan Jun 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda paling minimum kerana perlu berulang-alik ke Terengganu pada setiap hujung minggu bagi menjaga ibunya yang sedang sakit.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan kes.