Tindakan tegas pihak kenakan caj parkir di Bukit Broga

Bukit Broga, Semenyih. Gambar kecil: Loy Sian
Bukit Broga, Semenyih. Gambar kecil: Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak swasta yang mengambil kutipan caj parkir kenderaan di kawasan pelancongan Bukit Broga, Semenyih.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengutip 'tol' kepada kenderaan yang memasuki kawasan pelancongan tersebut.

"Saya difahamkan jika kenderaan hendak masuk ke Broga, mereka (pihak kutipan caj) mengenakan kutipan sebanyak RM5," katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Loy Sian berkata, isu kutipan caj parkir itu perlu diselesaikan segera terutama dalam usaha menarik kedatangan pelancong di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, kawasan pelancongan itu menerima kehadiran 1,000 hingga 2,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu.

Bagaimanapun katanya, terdapat pihak tertentu meminta pertimbangan kerajaan negeri bagi memudahkan kemasukan pelancong di Bukit Broga.

Tambah beliau, pada masa ini Bukit Broga diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan memerlukan permit untuk masuk ke kawasan tersebut.

"Sebelum ini, pelancong mudah untuk keluar masuk tanpa perlu permit di Bukit Broga, tetapi kali ini mereka menghadapi masalah kerana perlu memohon permit masuk ke hutan simpan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri sedang melihat perkara ini untuk membantu menyelesaikan perkara ini," katanya.