Menteri disaran ikut langkah PM tak ambil gaji

Yahya Sahri
Yahya Sahri
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri yang bakal dilantik dalam kabinet kerajaan baharu disaran untuk turut tidak mengambil gaji seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri berkata, jutaan ringgit hasil daripada gaji menteri itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.

"Kalau cabaran telah dibuat oleh Perdana Menteri, maka kabinetnya bagaimana? Sudah tentu menteri juga perlu melihat ia sebagai satu contoh.

"Kalau keseluruhan menteri tak ambil gaji, adalah sangat baik dan berapa banyak juta duit itu dapat disalurkan seperti membina lebih banyak sekolah di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Sinar Live bertajuk Kos Sara Hidup: Kabinet Baru Boleh Diharap? yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan agar kabinet baharu yang bakal dibentuk nanti lebih kecil daripada sebelum ini.

Menurutnya, ia juga satu langkah penjimatan selain percaya seorang menteri boleh menggalas beberapa portfolio dalam satu-satu masa.

"Beberapa kementerian boleh digabungkan di bawah satu menteri tanpa mengurangkan kualiti dan sumbangan kepada rakyat. Kalau saya, 10 menteri pun dah mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Dari sudut perkhidmatan, menteri yang dilantik dalam kabinet ini mesti mempunyai kewibawaan dan ada keupayaan bekerja dengan lebih baik serta mampu mendengar denyut nadi rakyat," katanya.