Tanah terbiar di Kelantan dibangunkan projek pertanian

Tuan Saripuddin ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (Salor-Pas) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
Tuan Saripuddin ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (Salor-Pas) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM600,000 untuk membangunkan 44.4 hektar tanah terbiar melibatkan 44 projek tahun hadapan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Saripuddin Tuan Ismail berkata, seramai 48 petani terlibat untuk projek penanaman durian, jambu batu, kelapa tembikai dan cili.

Menurut beliau, jika diusahakan dengan baik, petani yang terlibat dijangka menghasilkan tanaman dengan kapasiti lebih 5,292 perhektar dengan hasil lebih RM18 juta dalam tempoh lima tahun.

"Pertanian di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan tetapi peruntukan bagi membangunkan projek ini masih terhad.

"Kita berharap peruntukan daripada kerajaan pusat dapat dipertingkatkan, sekali gus bersama dalam menjayakan program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (Salor-Pas) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.

Beliau turut menjawab soalan tambahan mengenai kelayakan petani yang mahu memohon untuk membangunkan tanah terbiar di Kelantan.

"Petani yang berminat boleh membuat permohonan melalui Jabatan Pertanian negeri dan minimum tanah yang boleh dibangunkan ialah 0.4 hektar.

Artikel Berkaitan:

"Pemilihan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Tanah Terbiar berdasarkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.