Gergasi Merah lebih gah tahun depan

Pasukan Selangor FC sebelum bermulanya perlawanan Piala Malaysia 2022 akhir ketika menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas. - Foto Bernama
Pasukan Selangor FC sebelum bermulanya perlawanan Piala Malaysia 2022 akhir ketika menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas. - Foto Bernama
A
A
A

DI sebalik kekalahan Selangor FC 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia pada Sabtu, ia memberi mesej bahawa Gergasi Merah akan lebih gah tahun hadapan.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan melihat corak permainan yang ditampilkan anak buah Tan Cheng Hoe itu sangat berani dan menarik.

Ini terbukti apabila pemain Selangor yang kebanyakan dibarisi pemain muda berusaha mengekang asakan lawan selain cuba menggerakkan serangan dengan teratur.

Apa yang boleh diulaskan ini adalah langkah pihak pengurusan Selangor yang telah mengorak langkah jauh ke depan bagi mendepani cabaran musim depan.

Ia dikuatkan dengan khabar angin mengatakan skuad Gergasi Merah akan dibarisi pemain handalan seperti Faisal Halim, Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee.

Turut diselitkan khabar angin perpindahan mega ini iaitu dua pemain JDT, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad.

Sekiranya benar kehadiran pemain ini melengkapi wajah juara 33 kali Piala Malaysia, sudah tentu Cheng Hoe mampu menghasilkan corak permainan yang lebih bermutu dan enak disaksikan peminat ditambah pula dengan pemain sedia ada seperti Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal.

Selepas dilantik sebagai pengendali Selangor pada September lalu, Cheng Hoe menegaskan misi utama adalah untuk melihat pasukan ini kembali berada di satu tahap yang terbaik pada musim depan.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak lihat bukan sahaja Selangor berada di satu tahap terbaik, tetapi nak juga tengok pasukan kebangsaan dapat pergi lebih jauh dengan adanya pemain-pemain berkualiti juga daripada pasukan ini.

“Memang saya tidak jangka dan tidak pernah bermimpi akan bersama Selangor sebab sejarah Selangor ini cukup besar di mana mereka pernah melahirkan begitu ramai legenda yang membawa kejuaraan kepada pasukan ini,” jelas anak kelahiran Alor Setar berusia 54 tahun itu.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada musim 2016, namun tewas 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Kedah selepas terikat 1-1 di Stadium Shah Alam.

Edisi 2015 merupakan kali terakhir Selangor menjulang kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah, 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.