Pelantikan Wan Rosdy mulakan lembaran baharu

Amirudin (tengah) berharap pelantikan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang memulakan lembaran baharu di negeri itu.
Amirudin (tengah) berharap pelantikan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang memulakan lembaran baharu di negeri itu.
A
A
A

KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Pahang berharap pelantikan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang memulakan lembaran baharu untuk memastikan negeri itu kekal maju dan makmur pada masa akan datang.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, parti itu menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang untuk penggal kedua.

Menurutnya, proses rundingan di antara Barisan Nasional (BN) dan PH Pahang bagi membentuk kerajaan telah dimulakan sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diketahui pada 19 November lalu.

"Ini berasaskan kepada semangat saling mempercayai di antara satu sama lain dan demi kepentingan rakyat negeri Pahang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Rosdy, 64, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dibubarkan pada 14 Oktober lalu.

Pelantikan Pengerusi BN Pahang itu disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada Isnin di hadapan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pelantikan Wan Rosdy itu dipersetujui BN dan PH yang bergabung membentuk kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan: