China akur gesaan penduduk longgar sekatan Covid-19

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Anggota polis menyekat jalan di Shanghai bagi untuk menghalang protes orang ramai membanjiri jalan Wulumuqi. - AFP
Anggota polis menyekat jalan di Shanghai bagi untuk menghalang protes orang ramai membanjiri jalan Wulumuqi. - AFP
A
A
A

BEIJING - Pihak berkuasa di Xinjiang terpaksa akur dengan gesaan penduduk di wilayah tersebut apabila melonggarkan beberapa sekatan di Urumqi selepas protes besar-besaran di seluruh negara dan insiden kebakaran maut akibat 'lockdown' Covid-19.

Bandar yang diduduki empat juta penduduk tidak dibenarkan keluar rumah selama berminggu-minggu, telah dibenarkan menaiki bas dalam daerah bermula Selasa, menurut pegawai ketika sidang media pada Isnin.

Sektor perniagaan penting di kawasan 'berisiko rendah' dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus manakala pengangkutan awam dan penerbangan akan disambung semula.

Dalam insiden Khamis lalu, sepuluh orang maut dalam kebakaran di bangunan kediaman di Urumqi sehingga mencetuskan orang ramai turun ke jalan raya di beberapa bandar raya di China untuk membantah dasar ketat sifar Covid-19.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa China menahan tiga orang awam dan seorang wartawan BBC semasa protes besar-besaran yang berlangsung di Shanghai bagi membantah sekatan Covid-19.

Orang ramai berkumpul di pusat bandar Shanghai pada Ahad sehingga mencetuskan pertembungan dengan polis yang menghalang mereka membanjiri jalan Wulumuqi.

Wartawan AFP menyaksikan tiga orang ditahan polis selepas didapati tidak mematuhi arahan pihak berkuasa bersurai di lokasi kejadian. - AFP

Artikel Berkaitan: