PRU15: BN akan bincang dengan PH isu calon DUN Tioman

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media pertama selepas selesai mengangkat sumpah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media pertama selepas selesai mengangkat sumpah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan berbincang bersama Pakatan Harapan (PH) bagi memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Wan Rosdy berkata, BN dan PH kini satu blok dalam kerajaan negeri dan sewajarnya tidak perlu berlaku pertembungan antara kedua-dua calon.

"Jika mereka (PH) bagi laluan, lagi bagus untuk BN menang dan mempertahankan kerusi itu pada PRU15 DUN Tioman nanti.

"Kerjasama ini akan memberi kesan positif kepada kedua-dua pihak sebagai satu gabungan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, kerjasama antara BN dan PH Pahang dalam pembentukkan kerajaan negeri dijangka memberi kelebihan kepada BN untuk memenangi kerusi itu.

"Kita akan bincang hal ini untuk mendapatkan kesepakatan bersama bagi memastikan kemenangan BN dan PH sebagai satu gabungan," katanya.

PRU15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 November lalu sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 DUN Tioman, 3 Disember sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi pada 7 Disember depan.

Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional berjaya merampas kerusi Parlimen Rompin dan kerusi DUN Bukit Ibam daripada BN.

BN hanya menang di kerusi DUN Muadzam Shah.