Kabinet Anwar: Bukan hanya kecil, kurangkan juga pegawai

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SEMALAM Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu mengambil masa beberapa hari lagi untuk membuat keputusan melantik barisan kabinet untuk melicinkan pergerakan kerajaan.

Bukan satu keputusan yang mudah buat Anwar, kerana beliau bukan sahaja perlu berhadapan dengan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi bersemuka dengan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Selain PH, keputusan perlu melibatkan koalisi bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana pembentukan kerajaan kali ini melibatkan tiga gabungan parti besar, semestinya kepentingan setiap mereka perlu ada.

Persetujuan jajaran baharu penting untuk keputusan ini, masa untuk berpolitik sudah dinoktahkan dengan pelantikan perdana menteri, Khamis lalu.

Berbalik kepada lantikan sayap kanan dan kiri pentadbiran Anwar (menteri kabinet), satu keputusan tepat dan tegas perlu dibuat Anwar.

Adalah penting tidak memuaskan hati parti-parti menyokong kerajaannya pada masa ini, tetapi menangkat suara rakyat menolak pemimpin rasuah dan mengamalkan salah guna kuasa. Pemimpin yang ada kes perlu selesaikan terlebih dahulu jika berhasrat sertai kabinet.

Anwar perlu tegas dengan lantikan baharu itu nanti, tiada lantikan buat mereka yang masih dalam perbicaraan dan akan mendatangkan masalah kepada pentadbiran beliau. Tidak menafikan peranan mereka ini dalam pembentukan kerajaan, namun hakikat perlu diterima yang mereka telah ditolak rakyat pada 19 November lalu.

Dalam masa sama, usaha Anwar mengumumkan tidak mengambil beberapa faedah dan kemudahan sebagai perdana menteri dan mengecilkan kabinetnya perlu dipuji, tetapi sebagai rakyat kita tidak boleh terlalu asyik dengan berita-berita indah kerana PM10 mahu pegawai kerajaan menyajikan kebenaran bukannya pujian.

Artikel Berkaitan:

Pastikan mereka yang dilantik sebagai menteri bukan kerana untuk membalas kesetiaan atau satu balasan kerana menjadi penyokong kuat sebaliknya perlu diisi oleh mereka yang layak.

Dan menteri itu pula perlu memastikan tidak memenuhi pejabatnya dengan pegawai-pegawai khas hanya kerana hendak membalas jasa mereka yang menyokongnya semasa berkempen sebelum ini.

Kita perlu berubah, Anwar perlu buat pilihan yang tepat!