PRU15: Calon sokong Kedah isytihar cuti mengundi

Sivaraj (dua dari kanan) menemui pengundi ketika menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Padang pada Ahad.
Sivaraj (dua dari kanan) menemui pengundi ketika menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Padang pada Ahad.
A
A
A

PADANG SERAI - Cadangan pengisytiharan cuti khas sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai disokong calon yang bertanding.

Calon BN, Datuk C Sivaraj menyokong cadangan yang dikemukakan agar kerajaan Kedah mempertimbangkan cuti khas kepada pengundi khususnya di Parlimen Padang Serai, 7 Disember nanti.

Ia langkah terbaik sekiranya kerajaan negeri memberi kemudahan kepada rakyat khususnya di Padang Serai memandangkan tarikh pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jatuh pada hari bekerja.

“Bagi saya, ia sesuatu yang sangat positif jika kerajaan negeri mengisytiharkan satu hari cuti khas untuk menggalakkan penjawat awam, kakitangan di agensi negeri serta swasta untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui media di Kampung Padang, di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar kerajaan Kedah mengisytiharkan 7 Disember sebagai cuti khas sempena hari pengundian kerusi Parlimen Padang Serai.

Menurut Wan Saiful, langkah itu perlu bagi menggalakkan serta beri kemudahan kepada pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebelum ini, SPR menetapkan proses pengundian Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon M Karupaiya pada 16 November iaitu tiga hari sebelum PRU15.

Padang Serai mempunyai 133,767 pengundi yang layak, dengan 81,230 pengundi berada di DUN Lunas manakala baki 52,546 pengundi di DUN Merbau Pulas.

Artikel Berkaitan:

Selain Sivaraj, kerusi Parlimen Padang Serai akan ditandingi Dr Mohamad Sofee Razak (PH); Datuk Azman Nasrudin (PN); Mohd Bakhri Hashim (Warisan); Hamzah Abdul Rahman (GTA) dan Sreanandha Rao (Bebas).