Warga asing ditahan gantung Jalur Gemilang terbalik

Seorang lelaki Bangladesh ditahan kerana menggantung Jalur Gemilang terbalik walaupun sudah ditegur.
Seorang lelaki Bangladesh ditahan kerana menggantung Jalur Gemilang terbalik walaupun sudah ditegur.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan gara-gara enggan membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di luar kediamannya di sebuah pangsapuri, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengerusi penduduk berhubung kejadian itu sekitar jam 12.40 tengah hari pada Sabtu.

Kejadian itu tular menerusi satu grup WhatsApp salah sebuah komuniti penduduk di Klang di mana salah seorang penghuni sebuah pangsapuri telah memasang bendera Malaysia secara terbalik.

"Pengerusi komuniti penduduk terbabit telah menasihati lelaki terbabit tetapi suspek melawan, membuat provokasi dan enggan membetulkan bendera itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek yang menetap di Malaysia sejak setahun lalu itu ditahan sekumpulan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara bagi membantu siasatan.

Katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang di sekitar Klang Utara.

"Suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: