Rela kedua kaki, tangan dipotong demi keluarga
KULIM - Seorang pesakit kencing manis terpaksa merelakan kedua-dua kaki dan tangannya dipotong Khamis lalu demi isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.
Bhathish Kumar Mengatasamy, 36, berkata, hanya cara itu mampu menyelamatkannya daripada kehilangan nyawa.
Menurutnya, dia nekad tetap menjaga isterinya, Sita Lachmi Segar, 34, dan tiga anak berusia lima bulan dan enam serta lapan tahun, sebaik sembuh kelak.
"Wakil rakyat akan bantu dapatkan tangan dan kaki palsu. Saya tetap mahu bekerja untuk pelihara isteri dan anak-anak," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, Bhathish dan keluarganya menerima kunjungan Adun Kulim, Yeo Keng Chuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim di rumah mereka di Flat E, Taman Jati.
Bhathish berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak beberapa tahun lalu namun terpaksa berhenti Oktober lalu akibat kerap sakit perut.
"Awal bulan November saya dimasukkan wad kecemasan dan akhirnya pada Khamis lepas doktor beritahu kedua kaki dan tangan terpaksa dipotong bagi elakkan jangkitan kuman.
"Ketika di hospital bila sedar saja, kesemua kaki dan kanan sudah tiada. Tetapi tak apa, ini tidak lemahkan semangat saya," katanya.
Menurutnya, isterinya termasuk pihak hospital banyak menyuntik semangat kepadanya dalam menjalani kehidupan seterusnya.
Sita Lachmi pula berkata, kehidupan mereka kini bergantung kepqehsan jiran-jiran.
"Dua anak kami bersekolah, jiran-jiran banyak bantu sumbangkan makanan," katanya yang tidak bekerja.
Sementara itu, Keng Chuan berkata, beliau kagum dengan semangat Bhathish yang tidak kenal putus asa.
"Saya mahu seluruh rakyat Malaysia tahu kisah ini supaya jangan mudah putus asa.
"Saya juga hargai semangat kejiranan di sini termasuk NGO yang saling bantu membantu. Terima kasih juga bantuan akan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim," katanya.