'Harap PM jenguk isu orang Melayu Pulau Pinang'

Mohd Yussof Latiff
Mohd Yussof Latiff
A
A
A

GEORGETOWN - Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sangat dialu-alukan selepas pelbagai cabaran dilalui anak jati Permatang Pauh, Bukit Mertajam itu.

Veteran politik, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, Anwar diharap dapat menjenguk nasib orang Melayu di negeri ini antaranya melibatkan isu pemilikan tanah.

Mohd Yussof berkata, Anwar pernah berbuat demikian ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

"Anwar adalah anak kelahiran kedua dari Pulau Pinang yang dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu jawatan tertinggi negara.

"Kita mengharapkan agar Anwar menjenguk nasib Melayu Pulau Pinang sepertimana yang pernah beliau lakukan sebelum ini ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Ketika zaman itu, Anwar banyak membantu dari segi pemilikan tanah kepada yayasan melayu di negeri ini, dan saya berharap beliau dapat melakukan perkara serupa selepas dilantik sebagai Perdana Menteri,'' katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Yussof berkata, parti yang berada di dalam kerajaan perpaduan dinasihatkan supaya tidak terlalu bermain politik sehingga mengganggu fokus utama kerajaan baharu itu untuk membangunkan semula ekonomi negara.

Mohd Yussof yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berkata, gabungan parti dalam kerajaan perpaduan diingatkan supaya bersama-sama Anwar dalam meyakinkan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya berlaku percanggahan pendapat, pemimpin parti perlu menegur secara berhemah dengan menggunakan saluran yang betul.

"Gabungan parti dalam kerajaan baru ini dinasihatkan supaya mengelak daripada terlalu bermain politik sehingga mencetuskan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara.

"Saya juga berharap tidak berlaku 'politiking' jika mereka yang memegang amanah mahukan rakyat mendapat faedah yang lebih baik daripada kerajaan perpaduan ini. Jangan terlalu bermain politik.

"Ia bagi membolehkan usaha Anwar memulihkan ekonomi negara dapat dicapai dalam masa terdekat," katanya.

Mohd Yussof turut yakin dengan pengalaman yang dimiliki Anwar untuk membangunkan semula ekonomi selain menstabilkan semula politik negara.

"Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap Anwar dan mereka berharap agar beliau memulihkan keyakinan pelabur asing dan menarik pelabur kembali ke negara ini.

"Ketidakstabilan politik sebelum ini menyebabkan pelabur tidak yakin untuk melabur di Malaysia namun dengan pembentukan kerajaan baru ini, kita berharap politik negara akan kembali stabil. Saya yakin dengan kredibiliti Anwar, dengan pengalamannya, insyaAllah beliau mampu untuk membangunkan semula ekonomi," katanya.