Insiden kekecohan: FAM teliti bentuk hukuman

Noor Azman. - Foto FB FAM
Noor Azman. - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan daripada komisioner perlawanan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kekecohan penyokong membabitkan Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu Isnin lalu.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata, sebarang hukuman yang akan dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab atas insiden itu perlu dinilai oleh unit undang-undang dan Jawatankuasa Tatatertib terlebih dahulu sambil tidak menolak pasukan yang terbabit boleh dikenakan tindakan.

"Kita akan tahu keputusannya dalam masa terdekat. Kebiasaannya, pasukan akan kena (tindakan) tetapi kita tunggu penilaian daripada Jawatankuasa Tatatertib.

"Kita pun tidak boleh maklumkan apa bentuk hukuman yang akan dikenakan kepada mereka," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 malam Isnin, sekumpulan penonton dipercayai penyokong bertindak liar dengan melempar kon dan objek lain ke arah bas yang membawa pasukan Selangor FC keluar dari SSMZA selepas tamat perlawanan.

Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut menyebabkan cermin bas pecah selepas objek dipercayai batu yang dilempar menembusi dan hampir terkena pegawai Selangor FC.

Difahamkan, di dalam bas tersebut turut terdapat anak-anak kecil pemain Selangor FC yang menumpang untuk pulang bermalam di hotel.

Dalam perkembangan lain, Noor Azman berkata, pihaknya berharap pemain-pemain yang dipanggil ke latihan pusat kebangsaan pada minggu hadapan dapat hadir melaporkan diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak mahu episod pemain tidak menghadirkan diri ke sesi latihan yang pernah terjadi sebelum ini berulang.

“Kita sudah umumkan (pemain yang tidak dapat sertai) menerusi siaran media jadi saya rasa tiada (pemain yang tidak melapor diri). Semua 29 pemain mesti melaporkan diri," katanya.