PH Sabah sokong Hajiji sampai habis penggal

Hajiji ketika membentangkan belanjawan 2023 negeri Sabah di Bangunan Undangan Negeri (DUN) Teluk Likas, pada Jumaat. - Foto Bernama
Hajiji ketika membentangkan belanjawan 2023 negeri Sabah di Bangunan Undangan Negeri (DUN) Teluk Likas, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Jumaat menyatakan sokongan serta komitmen untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN berakhir pada 2025.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, selain itu, kesemua mereka juga sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak Sabah dapat dijayakan.

Pada saya dan ADUN PH Sabah, kita tidak mahu terlalu banyak politik sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan (dan) di peringkat Persekutuan, kita membentuk kerajaan perpaduan dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di Sabah.

"ADUN PH Sabah mengalu-alukan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataa di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Ewon yang juga ADUN Kadamaian mengetuai kunjungan hormat ADUN PH Sabah ke atas Hajiji di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini bersama lima yang lain iaitu Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), Jannie Lasimbang (DAP-Kepayan), Tan Lee Fatt (DAP-Likas), Pito Galim (PKR-Inanam) serta Christina Liew (PKR-Api Api), manakala Poon Ming Fung (DAP-Tanjung Papat), tidak hadir.

Ewon dalam pada itu turut berterima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan ADUN PH dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah serta Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah bermula tahun hadapan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang itu berharap terdapat wakil PH Sabah yang akan menganggotai Kabinet Persekutuan untuk membolehkan tawaran khas ‘Kita Boleh’ PH seperti yang diumumkan semasa tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan di negeri ini.

"Berkaitan UPKO pula, kita sudah memaklumkan pucuk pimpinan mengenai syor daripada UPKO mengenai penglibatan di dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: