PRU15: UMNO, BN perlu terima hakikat ditolak rakyat

Sharil ketika berucap pada Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda, pada Jumaat.
Sharil ketika berucap pada Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda, pada Jumaat.
A
A
A

KULIM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat ditolak oleh rakyat pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu selepas hanya memenangi 30 kerusi termasuk 20 di semenanjung.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, keseluruhan kepimpinan perlu memohon maaf kepada ahli dan penyokong kerana tidak mampu membendung gelombang yang berlaku sehingga menyebabkan kekalahan teruk dalam sejarah UMNO dan BN selama ini.

Menurutnya, apa yang berlaku bukan lagi tsunami politik dan parti tidak boleh menunggu sehingga terpaksa berdepan ‘asteroid’ yang mungkin akan menyebabkan parti itu akan pupus.

Antara perkara yang perlu dilihat adalah imej parti dilihat tidak berintegriti dan ini kita kena semak, pastikan dalam masa lima tahun atau penggal ini, ada satu kemampuan dan kemahuan untuk bukan hanya ubah kaedah kempen berpolitik, tetapi, membersihkan imej parti.

“Membersihkan imej parti kita bukan semata-mata dalam media sosial, kita bercakap bukan semata-mata ayat kita atau hujah kita, tetapi, siapakah perwatakan yang kita bawa dalam parti ini untuk masa depan?,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai Bersama Naib Ketua Pemuda di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Shahril berkata, politik khidmat sahaja tidak lagi menjaminkan kemenangan kepada calon kerana mereka turut terkesan dengan imej parti di peringkat nasional.

Jelasnya, imej parti di peringkat nasional memainkan peranan di seluruh negara dan memberi kesan dengan membawa gelombang nasional.

"Anda bagus macam mana pun di kawasan, anda beri khidmat macam mana pun lima tahun ini, tetapi kalau imej di peringkat nasional tidak baik akan terkesan juga kepada calon-calon dan kepemimpinan di peringkat bahagian.

Artikel Berkaitan:

“Ini realiti yang kita kena cakap, kita kena ambil tanggungjawab bersama sebab itu walaupun pendirian saya sebelum ini sudah jelas selepas kita tewas, saya sendiri telah ambil tanggungjawab," katanya.