Gabungan NGO desak kerajaan tarik balik ratifikasi CPTPP

Azlan (kiri) ditemui pemberita ketika menyerahkan memorandum kepada kerajaan di bangunan Perdana Putra, di sini pada Jumaat.
Azlan (kiri) ditemui pemberita ketika menyerahkan memorandum kepada kerajaan di bangunan Perdana Putra, di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekumpulan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Kedaulatan Negara dan pakar mendesak kerajaan menarik balik ratifikasi persetujuan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Jurucakapnya, Azlan Awang berkata, CPTPP akan berkuat kuasa sepenuhnya selepas 60 hari kerajaan menandatangani persetujuan tersebut.

"Kerajaan perlu mengambil langkah drastik kerana masa sudah suntuk yang mana hanya berbaki empat hari sebelum CPTPP dikuatkuasakan mulai Selasa depan," katanya.

Beliau berkata, CPTPP merupakan suatu perangkap yang amat berbahaya kepada Malaysia.

"Antara yang menimbulkan kebimbangan kami adalah CPTPP ini memberi banyak hak dan kelonggaran ke atas pelabur asing," katanya.

Azlan yang juga Felo Kanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menegaskan melalui CPTPP Malaysia tidak dibenarkan menentukan syarat bahawa pelabur harus mengguna bahan dan barangan tempatan ataupun memindahkan teknologi ke Malaysia termasuk kakitangan peringkat pengurusan.

"Hak mendapatkan layanan “national treatment” bererti sebarang galakan ataupun kemudahan yang kerajaan kita berikan kepada syarikat tempatan harus ditawarkan terhadap pelabur asing juga," katanya.

Beliau berkata, CPTPP memberi pelabur asing hak untuk mengheret kerajaan ke tribunal timbang tara swasta.

Artikel Berkaitan:

"Mereka boleh berbuat demikian jika merasakan keuntungan termasuk anggaran keuntungan masa depan, terjejas oleh dasar polisi kerajaan.

"Pelabur tidak perlu merujuk kes ke mahkamah tempatan," katanya ketika ditemui pemberita ketika menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini pada Jumaat.

Ujar Azlan, gabungan dan pakar tempatan khuatir akan berlaku liberalisasi besar akibat CPTPP sedangkan perubahan pesat dalam pengagihan kekayaan beberapa tahun kebelakangan ini telah merosot.

"Peratusan ekuiti asing telah jatuh daripada kira-kira 63 peratus pada tahun 1970 kepada 25 peratus pada tahun 1990.

"Perkembangan ini membolehkan ekuiti Bumiputera dan bukan Bumiputera meningkat, kerajaan menggunakan pendekatan pembangunan yang menitikberatkan pengagihan semula," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan liberalisasi yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya dalam sektor perkhidmatan, peratusan ekuiti asing meningkat daripada 30 peratus pada tahun 2006 kepada 37 peratus pada tahun 2011.

"Antara tahun 2011 dan 2019 ekuiti Bumiputera jatuh daripada 23.4 peratus kepada 17.2 peratus manakala ekuiti bukan Bumiputera daripada 34.9 kepada 25 peratus.

"CPTPP berkemungkinan akan mempercepatkan trend ini," katanya.

Pada 5 Oktober lalu, kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP dan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.