Empat nelayan ditahan langgar syarat lesen

Bot yang ditahan ketika rondaan anggota Maritim Malaysia di kedudukan 6.70 batu nautika barat Pantai Kuala Sala, Kedah.
Bot yang ditahan ketika rondaan anggota Maritim Malaysia di kedudukan 6.70 batu nautika barat Pantai Kuala Sala, Kedah.
A
A
A

KUALA KEDAH - Sebuah bot nelayan kelas B1 ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah di kedudukan kira-kira 6.70 batu nautika barat Pantai Kuala Sala, Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot yang diusahakan seorang tekong bersama tiga awak-awak itu ditahan jam 12.30 pagi selepas menerima aduan dan rondaan awal pagi tadi.

"Kesemua nelayan tersebut berusia lingkungan 40 hingga 49 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

"Menunda pada awal pagi di luar kawasan yang dibenarkan dipercayai menjadi taktik bot-bot tunda dalam mengaut keuntungan berganda," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasil laut turut dirampas.
Hasil laut turut dirampas.

Menurutnya, bot tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut

"Sikap tamak pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat sah lesen dikhuatiri akan merosakkan ekosistem laut sekali gus pendapatan nelayan terutama nelayan pantai akan terjejas.

"Pengusaha bot nelayan diminta supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahmad Faizal berkata, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut.

Maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.