Sokong gabungan BN-PH bentuk kerajaan Pahang

Mohd Asri Mohd Piah
Mohd Asri Mohd Piah
A
A
A

MARAN - Seramai 49 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Maran menyuarakan sokongan terhadap gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Pahang.

Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Daerah Maran, Mohd Asri Mohd Piah berkata, sokongan turut diberikan kepada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk kekal sebagai Menteri Besar.

Menurutnya, sokongan itu bersandarkan kepada komitmen dan kejayaan Wan Rosdy memajukan ekonomi negeri sehingga kutipan hasil negeri setanding dengan Johor dan Selangor.

"Wan Rosdy tidak wajar dipersalahkan kerana tsunami yang berlaku bukan hanya di Pahang malah seluruh negara.

"Sehubungan itu, kami yakin beliau (Wan Rosdy) mampu untuk terus mentadbir negeri ini seterusnya membawa kestabilan dan kemakmuran menerusi kerajaan gabungan BN-PH," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Asri yang juga Pengerusi JPKK Kuala Sentul berkata, dalam konteks pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini, tumpuan utama harus diberikan kepada mewujudkan kerajaan negeri yang stabil dan mampu membela kebajikan rakyat keseluruhannya.

"Kami sebagai pengerusi JPKK di Maran ini berpandangan Wan Rosdy mampu membawa negeri ini ke arah yang lebih baik walaupun kerajaan negeri dibentuk melalui gabungan BN-PH.

"Kami juga doakan semoga Wan Rosdy terus diberi kepercayaan mentadbir negeri ini demi kestabilan dan kemakmurannya," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti.

BN yang dijangkakan akan kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan PN yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.

PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam,Kuala Sentul,Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.

BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.