Anwar PM baharu selepas dua dekad

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Anwar pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Anwar pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 75, telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas lima hari Parlimen tergantung dan landskap politik tanah air menemui jalan buntu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada Sabtu lepas.

lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri telah diadakan di lstana Negara pada Khamis.

Anwar akan mengetuai kerajaan perpaduan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata pelantikan Pengerusi PH itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pada Khamis bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, kata beliau.

Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari 1993 hingga 1998 ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari 1991 sehingga 1998, dan dalam tempoh itu menyaksikan Euromoney menobatkan beliau sebagai empat menteri kewangan terbaik manakala pada 1996, Asiamoney menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik.

Artikel Berkaitan:

Ketika Krisis Kewangan Asia pada 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas dan menekankan isu kedekatan perniagaan dan politik di Malaysia.

Beliau menyokong akauntabiliti selain memulakan pemotongan perbelanjaan yang meluas demi menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Anwar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan di Bank Dunia dan Tabung Matawang Antarabangsa pada 1998 untuk tempoh dua tahun di mana dalam tempoh itu beliau amat menyokong inisiatif membatalkan hutang dan menangguhkan hukuman terhadap negara-negara miskin, terutamanya di Afrika.

Selain sebagai Menteri Kewangan, Anwar turut memegang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, Menteri Pertanian pada 1984 dan Menteri Pelajaran pada 1986.

Anwar turut dikenali sebagai penceramah terkemuka di persada antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi, serta keperluan terhadap akauntabiliti. - Bernama