Kedah sedia runding laksana PRN serentak

Muhammad Sanusi (dua dari kiri) mengiringi Azman (dua dari kanan) pada penamaan calon Parlimen Padang Serai di Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim pada Khamis.
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) mengiringi Azman (dua dari kanan) pada penamaan calon Parlimen Padang Serai di Kompleks Sukan Hi-Tech Kulim pada Khamis.
A
A
A

KULIM - Kerajaan negeri Kedah sedia membuat rundingan berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama lima negeri lain termasuk negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu bagaimanapun perlu dibawa kepada pertimbangan Pas pusat sebelum keputusan dibuat.

Menurutnya, cadangan mengadakan PRN secara serentak adalah lebih baik kerana memudahkan pengundi luar dan jentera parti merancang perjalanan pulang mereka untuk mengundi.

"Kalau nak bagi jadi sekali kita boleh runding dah dengan negeri-negeri yang belum mengadakan pilihan raya contohnya Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

"Saya rasa perkara ini bukanlah perkara yang sulit untuk dipersetujui bersama, itu kebaikan bersama," katanya kepada media ketika mengiringi calon Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin (PN) pada penamaan calon di Kompleks Sukan Hi-Tech, Kulim pada Khamis.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember depan berikutan kematian calon M Karupaiya (PKR) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 November iaitu tiga hari sebelum PRU15.

Proses penamaan calon ditetapkan 24 November dan undian awal pada 3 Disember 2022.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, beliau terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan menteri besar dan ketua menteri masing-masing bagi melaksanakan PRN serentak.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chon Kon Yeow menyatakan kesediaan beliau mengadakan perbincangan untuk mengadakan PRN serentak dengan lima negeri lain.