PRN penentu kelangsungan Kerajaan Perpaduan

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menang atau kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada pertengahan tahun ini bakal memberi kesan terhadap kelangsungan survival Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Semenanjung mencapai kemenangan selesa dalam PRN di enam negeri terbabit, besar kemungkinan kerjasama dua gabungan politik itu akan mengalami perubahan kualitatif yang menjurus kepada transformasi bentuk dan intipati.

"Jika Anwar berjaya memimpin gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memasuki PRN di enam negeri nanti dengan keadaan tersusun dan tidak bertanding melawan sesama sendiri.

"Sebaliknya, siapa jua calon-calon yang bertanding adalah mewakili kehendak dan mandat daripada Kerajaan Perpaduan walau apapun logo parti yang dipakai, maka imej Kerajaan Perpaduan akan muncul dengan wajah yang penuh wibawa mewakili gabungan super mega," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Anwar tentu tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan Persekutuan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memasuki PRN di Melaka dan Johor setahun lalu dalam keadaan berpecah.

Jelas Hassan, situasi tersebut mengakibatkan gabungan politik itu bertempur sesama sendiri dalam PRN berkenaan.

Justeru katanya, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini di Kuala Lumpur wajar diberi perhatian serius dalam menentukan hala tuju dua gabungan politik berkenaan.

Langkah mengadakan konvensyen tersebut katanya, merupakan satu inisiatif positif bagi Kerajaan Perpaduan yang kini mentadbir di Putrajaya.

"Ia memberi makna kerjasama parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini ingin diterjemahkan menjadi kerjasama politik yang lebih mantap dan tersusun dari peringkat atas hinggalah ke peringkat akar umbi di ranting-ranting dan di cawangan-cawangan organisasi parti di seluruh negara.

"Kewujudan konvensyen nasional ini juga memberi petanda bahawa kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan Persekutuan bukanlah sekadar muafakat semusim dan sepenggal hingga ke pilihanraya umum akan datang sahaja," katanya.

Tambahnya, usaha secara sedar atau tidak sedang diatur untuk membentuk satu pakatan berupa gabungan mega yang memayungi PH dan BN.

Keperluan mengadakan konvensyen nasional Kerajaan Perpaduan itu kata Hassan, begitu mendesak kerana didorong cabaran yang sedang menanti iaitu PRN di enam negeri itu tidak lama lagi.