'Kami sudah ada rumah'

Zuraini (tengah) bersama dua anak di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Ayer Merah.
Zuraini (tengah) bersama dua anak di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Ayer Merah.
A
A
A

MACHANG - Lapan beranak di Kampung Kuala Ayer Merah di sini sudah boleh tidur lena selepas berpindah ke rumah baru mereka dua hari lalu.

Zuraini Pauzi, 47, bersama tujuh anaknya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun sebelum ini tinggal di sebuah bangsal menyimpan pakaian terpakai lebih dua bulan lalu.

Zuraini bersyukur kerana impiannya untuk tinggal di rumah sendiri tercapai hasil sumbangan orang ramai yang membolehkan dia membina rumah dengan kos kira-kira RM3,000.

"Kami sudah lena tidur dan boleh berehat dengan selesa," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Rabu.

Menurutnya, rumah yang siap dibina minggu lalu itu hanya mempunyai satu ruang seluas lebih dua meter tetapi dia sekeluarga tidak bimbang bahaya dan tempias hujan.

Ibu kepada 12 anak itu juga berkata, rumahnya dibina hanya menggunakan papan lapis sebagai dinding dan bekalan air serta elektrik disambung dari rumah ibunya, Siti Khadijah Hamid, 68.

Zuraini bersyukur kerana sudah berpindah dari bangsal ke rumah yang siap dibina dua hari lalu.
Zuraini bersyukur kerana sudah berpindah dari bangsal ke rumah yang siap dibina dua hari lalu.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana keprihatinan rakyat Malaysia membolehkan kami sekeluarga tinggal dalam rumah yang lebih baik berbanding bangsal kecil sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Zuraini terpaksa tinggal bangsal sempit dan tidak berdinding dan terdedah hujan serta bahaya terutama pada waktu malam.

Zuraini sekeluarga terpaksa menumpang tandas dan bilik air di rumah kakaknya selain berkongsi kemudahan elektrik.

Wanita itu pernah bekerja sebagai pencari besi dan tukang rumah untuk mencari rezeki mengalas perut anak-anak termasuk seorang kategori Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran.