'Rusia negara penaja keganasan'

Pengisytiharan itu dianggap sebagai langkah simbolik politik malah penggubal undang-undang Parlimen Eropah berkenaan turut menggesa blok EU supaya mengikut jejak langkah mereka. Foto Agensi
Pengisytiharan itu dianggap sebagai langkah simbolik politik malah penggubal undang-undang Parlimen Eropah berkenaan turut menggesa blok EU supaya mengikut jejak langkah mereka. Foto Agensi
A
A
A

STRASBOURG - Parlimen Eropah yang bersidang di Strasbourg, Perancis pada Rabu mengisytiharkan Moscow sebagai 'negara penaja keganasan' setelah ia menuduh tentera Rusia melakukan kekejaman ketika melancarkan 'operasi khas' di Ukraine.

Pengisytiharan itu dianggap sebagai langkah simbolik politik malah penggubal undang-undang Parlimen Eropah berkenaan turut menggesa blok Kesatuan Eropah (EU) supaya mengikut jejak langkah mereka.

"Serangan dilancarkan Rusia sengaja menyasarkan penduduk dan memusnahkan infrastruktur awam. Mereka turut melakukan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut kandungan resolusi tersebut.

Difahamkan, resolusi itu disokong oleh 494 undi manakala 58 menolak.

"Rusia bukan hanya menaja keganasan malah ia menggunakan segala bentuk keganasan. Kami mahu menghantar isyarat yang jelas.

"Eropah tidak hanya akan berdiam diri apabila negara jiran yang besar melanggar kesemua standard kemanusiaan dan antarabangsa," kata Andrius Kubilius yang mewakili Lithuania.

Sebelum ini, beberapa penggubal undang-undang di timur EU telah sebulat suara mengutuk 'keganasan' Kremlin.

EU turut mengenakan lapan pusingan sekatan ke atas yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan menyasarkan eksport minyak utama Rusia, entiti dan individu penting di Moscow.

Artikel Berkaitan:

Sebagai respons terhadap pengisytiharan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut menyambut baik keputusan berkenaan setelah Kiev berterusan meraih sokongan sekutu Barat.

"Rusia wajar diboikot di semua peringkat dan perlu bertanggungjawab untuk menghentikan dasar keganasan di Ukraine dan seluruh dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, laman web Parlimen Eropah dilaporkan menjadi sasaran serangan siber yang didalangi penggodam pro-Rusia tidak lama selepas ia membuat pengisytiharan 'provokasi' ke atas Moscow.

"Pakar teknologi maklumat (IT) kami sedang berusaha untuk melindungi sistem daripada tindakan penggodaman tersebut," kata Presidennya, Roberta Metsola menerusi Twitter yang turut menyifatkan ia sebagai serangan 'paling sofistikated' dalam sejarah yang menyasarkan institusi berkenaan. - AFP