Jaga keharmonian kaum, jangan ambil kesempatan: Pas

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan di atas situasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus menjaga keharmonian antara kaum dalam negara.

Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, keluhuran undang-undang dan ketenteraman awam juga perlu dijaga bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara.

"Demi memelihara kestabilan politik dan ekonomi negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, Pas memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menangguk di air yang keruh dalam situasi ini.

"Semua pihak terus menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Khairil Nizam menjelaskan, kenyataan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru semua pihak menghormati keluhuran Perlembagaan sangat tepat dalam situasi politik terkini.

"Kita semua tahu bahawa rakyat Malaysia telah membuat pilihan dan mereka juga mengharapkan demokrasi terus subur di negara kita yang tercinta ini. Negara ini harus kita bina semula," katanya.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing sebelum ini menyatakan keyakinan memperoleh sokongan mencukupi, namun keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut pada pagi Selasa menjawab segalanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, PH menang di 82 kerusi Parlimen, PN (73) dan BN (30).